Sunday, August 12, 2018

Separuh Dia

K berhenti di gerai menjual sayur. Dia mencari sayur petola. Sejak hari rabu lagi K teringin makan petola masak air bersama ayam goreng. Jadi pagi sabtu ini, K turun ke Paddy's Market mencari sayur-sayuran asia yang susah didapati di kedai biasa. Kalau bertuah, bunga kantan pun boleh jumpa terjual di sini. Air tebu pun ada walaupun rasanya kurang enak berbanding tebu di Malaysia.

K memilih sayur petola dengan berhati-hati. Ada pelanggan lain juga turut singgah di gerai tersebut. K hanya mendengar pelanggan tersebut berbual. Dari lenggok percakapan mereka K sudah tahu pelanggan tersebut juga dari Malaysia.

K ambil sebatang petola. Sebatang petola cukup untuk dia seorang makan. Lagi pun petola yang dijual agak besar dan sudah puas K pilih, tiada saiz kecil. Selepas ini K perlu cari suun pula. Suun sedap digandingkan dengan petola. Kadang-kadang K masak dengan ikan bilis. Kadang-kadang K masak dengan udang. Kalau tiada ikan bilis atau udang pun enak juga.

K bayar harga petola dan petola bertukar tangan. K ingin bergerak meninggalkan gerai tersebut tapi ada tangan menahannya. "Karimah," eh?

K menoleh pada empunya suara yang menegurnya. Seorang wanita yang sedikit berusia. siapa? "ya?" balas K dengan keliru. Melihat wajah wanita tersebut, K rasa dia tidak mengenali wanita tersebut.

"Ibu, Amad dah beli sayur kacang panjang dekat gerai sebelah sana," kedengaran suara lelaki dibelakang wanita tersebut. Eh? Serentak itu K dan lelaki tersebut berpandangan.

Ahmad.

"Karimah,"seru Ahmad dengan kaget. Risau pun ya. Kalau-kalau Karimah lari seperti hari itu.

K terkedu. Ini kali pertama K bertemu Ahmad selepas K beri jawapan. Juga kali pertama selepas pertemuan di Muzium Seni Kontemporari tempoh hari.

"kalau ada orang suka Karimah, apa patut Karimah buat?" soal K ketika dia menghubungi Izzat. K masih belum buat keputusan dengan lamaran Ahmad ketika itu dan cuba meminta pendapat Izzat, abang sulungnya. Perkara ini juga melibatkan keluarga dan penting untuk K memaklumkan pada keluarganya. Namun, sebelum K beritahu Abah dan uminya dia cuba bagi pembayang pada Izzat terlebih dahulu. Itu pun K takut-takut untuk bercerita pada Izzat.

"kenapa? Ada lelaki mat saleh nak masuk meminang Karimah ke?" Izzat tidak menjawab soalan K tetapi membalas soalan dengan nada bergurau. K telan air liur. Pandai Izzat serkap jarang.

"bukan lelaki mat saleh tetapi lelaki soleh," balas K dengan nada serius. Izzat ketawa dengan jawapan K.

"kalau betul,suka. Bagitahu Abah dan Umi," nasihat Izzat setelah puas ketawakan K. Walaupun gaya K dan Izzat bercakap seperti santai tetapi masing-masing memahami perkara yang dibincangkan.

"Abang tolong beritahu Abah dan Umi, boleh? Karimah tak tahu nak cakap macam mana," pohon K dengan takut-takut. Lagipun, K tidak pernah ada pengalaman seperti ini. K percaya Izzat boleh membantunya. Izzatkan sudah berkahwin, sudah tentu dia pernah mengalami keadaan begini. Seterusnya, K menceritakan bagaimana hubungan dia dengan Ahmad terjalin. Walaupun ada ketika Izzat mengusiknya, K hanya menebalkan muka. Sungguh dia tidak pandai urus perasaan dan hati.

"Abang doakan Karimah. Suruh Abah dan Umi doakan Karimah juga. Nanti bila Karimah ada jawapan, Karimah akan maklumkan pada semua," kata K sebelum dia menamatkan panggilan jarak jauh dengan Izzat. Lama K berbincang dengan Izzat tentang Ahmad.


Siapa sangka selepas K beritahu keluarganya, K dengan tenang menerima lamaran Ahmad. Tiada lagi ragu-ragu seperti minggu sebelumnya. Izzat juga ada memaklumkan pada K bahawa keluarga Ahmad ada datang ke rumah untuk berkenalan dan berbincang tentang majlis pertunangan dan resepsi. K terasa masa berlalu dengan cepat walaupun sebenarnya proses itu berlaku dalam tempoh dua bulan.

Untuk dua bulan itu juga K dan Ahmad langsung tidak bertemu. Telefon menjadi alat komunikasi utama mereka. Kini, sekali lagi mereka bertemu tanpa dirancang di Paddy's Market.

Bila K nampak Ahmad, K jadi teringat perbualan dia dengan Izzat tempoh hari. "Karimah tahu apa maksud soulmate? Bila kita seru nama dia tiba-tiba sahaja dia muncul. Bila nampak dia rasa senang dan selamat," K rasa ingin mengiakan pendapat Izzat. Ahmad benar-benar muncul depan matanya.

"Kenalkan, ibu saya. Ibu, ini Karimah," suara Ahmad mematikan lamunan K pada Izzat. K serta-merta bersalam dengan Ibu Ahmad.

"Ahmad pernah tunjukkan gambar Karimah, sebab tu Ibu boleh kenal Karimah," jelas Ibu Ahmad pada K. Patutlah Ibu Ahmad selamba tegur K dan buat K rasa serba salah kerana tidak mengenali bakal mentua dia. Ahmad tidak pernah kongsi gambar keluarganya. Ini tidak adil. K memberontak dalam hati.

"oh, bila sampai Sydney?" soal K ramah. Sejujurnya, K rasa gementar bertemu dengan bakal mentua di pasar Sydney. Dia tidak pandai nak bermesra.

"tiga hari lepas, papa dan adik-beradik Amad semua ada. Lepas ni, mungkin tak dapat jalan-jalan ke sini dah," jawab Ibu Ahmad dengan gembira. Ia terserlah kerana Ibu Ahmad tidak melepaskan tangan K dari awal mereka berkenalan.

Mendengar jawapan Ibu Ahmad, K baru teringat. Ahmad ada memaklumkan padanya bahawa Ahmad akan kembali ke Malaysia. Kompeninya akan membuka cawangan di Malaysia pada hujung tahun nanti. Ahmad juga meminta K untuk mempertimbangkan cadangannya supaya K juga balik kerja di Malaysia. K masih belum beri keputusan. Sukar untuk K menurut kerana K suka tinggal di Sydney.

"oh, cari apa dekat pasar Paddy's ni?"sekali lagi K bertanya. Minda K giat berfikir mencari topik yang sesuai untuk berbual. Manakala hatinya pula menjerit mahu balik sekarang.

"oh, macam-macam. cari kacang panjang. Daun pandan. Nak masak lauk Malaysia," jawab Ibu Ahmad mesra seperti melayan anak sendiri. Ahmad dibelakang pula yang resah. Bimbang kalau K rasa kurang selesa. Dia tahu masalah K. Marisa sudah menceritakan peristiwa yang berlaku di Muzium Seni Kontemporari.

"hari ini Karimah lapang tak?" Ibu Ahmad terlebih dahulu melontarkan pertanyaan.

"hari ni saya nak masak..." tanpa sempat K menghabiskan ayat bicaranya Ibu Ahmad terus menarik tangannya.

"elok sangat. Jom, kita masak sama-sama. Ibu pun dah jumpa semua barang. Karimah boleh ikut ibu balik rumah Ahmad," eh? rumah Ahmad? Ajak Ibu Ahmad tanpa persetujuan K. K dan Ahmad berpandangan. Kaki K dengan lemah hanya menurut. Macam mana ni?

"Ibu, sekejap. Biar Ahmad cakap sekejap dengan Karimah," Ahmad segera bertindak menahan Ibunya membuat keputusan sesuka hati. Ahmad dan K bergerak jauh sedikit dari tempat Ibu Ahmad menunggu.

"kalau awak rasa tak selesa, saya bagitahu ibu awak datang lain kali," kata Ahmad dengan prihatin. K menunduk. Debar di hati masih belum hilang. K menarik nafas berulang kali.

"tak boleh nanti ibu awak kecil hati," jawab K setelah dia bertenang. K dilema antara menjaga hati bakal ibu mentua atau balik begitu sahaja.

"kalau awak kena panick attack?" soal Ahmad penuh risau. K memegang dadanya. Nampaknya rasa debarnya masih belum hilang. K terus bergerak mencari kerusi. Dia perlu duduk. Kakinya tiba-tiba rasa lemah. Ahmad hanya mengikut.

"awak okay?" tanya Ahmad apabila muka K nampak pucat. K hanya menggeleng. Ibu Ahmad menghampiri mereka. Ahmad memberi isyarat pada ibunya supaya tidak bertanya apa-apa. Ibu Ahmad seperti memahami dan duduk sebelah K. Dia memegang tangan K dan menyuruh K mengikut dia beristighfar. Lima minit kemudian, keadaan K bertambah baik.

"dah okay? Awak boleh balik kalau rasa tak sihat," sekali lagi Ahmad bertanya.

"tak apa. Saya ikut," K sebenarnya tersentuh dengan perhatian Ibu Ahmad terhadapnya. Ibu Ahmad hanya diam disebelahnya dan langsung tidak memandang jelek terhadapnya.

"betul ni?" Ahmad masih tidak percaya.

"ya," jawab K dengan yakin walaupun pakaian yang dipakainya agak kasual, K tidak peduli. Ketika Ahmad melamarnya di Muzium Seni Kontemporari tempoh hari, K juga berpakaian begitu. Lagipun, K hanya ke rumah Ahmad untuk makan bukan untuk majlis istimewa.

"kalau begitu, saya jemput Marisa sekali," Ahmad membuat keputusan tanpa meminta pendapat K. Ahmad benar-benar risau kalau panick attack menyerang K lagi. Jika Marisa ada bersama, K akan lebih selesa.

K tidak dapat menghalang Ahmad mengajak Marisa ke rumahnya. Mungkin lebih baik begitu. Ahmad, K dan Ibu Ahmad kemudian bergerak ke stesen Paddy's Market untuk menaiki light rail. Mereka akan menukar platform di Central untuk ke Hornsby. K masih ingat Ahmad pernah turun di stesen Hornsby pada tahun lepas dan berharap Ahmad masih menetap di situ. Sekurang-kurangnya dia dapat melihat gaya hidup Ahmad sebelum dia kembali ke Malaysia.

Dari stesen Hornsby ke rumah Ahmad hanya perlu jalan kaki 5 minit. Ahmad sebenarnya tinggal di apartment dua bilik. Walaupun dua bilik, ruang tamu dan balkoni agak luas dan K percaya ruang tersebut boleh menampung kehadiran keluarga Ahmad. K juga lega kerana Ahmad tinggal di tingkat satu. Tidaklah letih mereka memanjat tangga. Ahmad juga tinggal sendiri. Sebelum ini, dia tinggal berdua tetapi rakan serumahnya sudah berpindah kerja di Brisbane.

Ketika K sampai, Kakak Ahmad menyambut mereka. K tidak dibenarkan membantu Ibu dan adik beradik perempuan memasak. K ditugaskan menjaga anak saudara Ahmad, anak kepada kakak Ahmad yang berumur 18 bulan - Zakaria. Seperti yang diberitahu Ibu Ahmad, semua ahli keluarga Ahmad datang berjalan ke Sydney.

Dalam diam K rasa bersyukur menerima jemputan Ibu Ahmad. Ada hikmah K ikut Ahmad ke rumahnya. K dapat berkenalan dengan keluarga Ahmad. K juga baru tahu nama penuh Ahmad. Ahmad bin Jamal. Nama ibu Ahmad, Aminah binti Adnan. K rasa ia adalah satu pencapaian yang mengagumkan. Bila Marisa sampai nanti, boleh la K berlagak di depan Marisa.

K juga sudah hafal nama adik beradik Ahmad. Nama adik beradik perempuan Ahmad agak panjang berbanding nama adik beradik lelaki. Nama kakak Ahmad, Hawa Humaira dan adik perempuannnya, Asiah Amirah. Dua adik lelaki Ahmad pula, Adam dan Aliff. Sekurang-kurangnya K tahu dan kenal ahli keluarga Ahmad. Sebelum ini, Izzat ada menegur K kerana tidak mengambil tahu tentang latar belakang keluarga Ahmad.

Hanya Kak Hawa yang sudah berkahwin manakala yang lain masih bujang. Ini bermakna kalau K disatukan dengan Ahmad, K adalah menantu perempuan pertama dalam keluarga Ahmad. K tiba-tiba rasa dia bakal memikul tanggungnjawab yang berat. Kalau dia buat silap, tentu Ibu mentuanya akan memandang serong.

Zakaria tertidur ketika dia bermain dengan K. Gembira Kak Hawa apabila tahu Zakaria lena dengan K. Kata Kak Hawa, Zakaria susah tidur bila dia dengan orang asing. Kebetulan Ibu Ahmad dan adik beradik perempuan juga sudah siap memasak. Tidaklah K rasa kurang selesa tanpa ada kerja yang boleh dibuat. Ahmad bersama Papa dan adik lelakinya sibuk mengemas barang untuk dibawa balik Malaysia. Marisa sampai sepuluh minit kemudian ketika mereka semua sedia untuk makan tengahhari.

K ingatkan selepas makan tengahhari dan berbual seketika boleh terus pulang. Rupanya ia adalah hari Sabtu yang panjang buat K. Ibu Ahmad menahan K dari terus pulang dengan Marisa. Ada agenda tersembunyi yang dirancang oleh keluarga Ahmad.

"Ibu sudah jumpa keluarga Karimah dan Ibu sudah minta izin dengan ayah dan emak Karimah," ketika itu Ibu Ahmad, K, Kak Hawa, Asiah dan Marisa berada di dalam bilik. Suasana sangat serius menakutkan K. Dia masih belum mengerti apa tujuan dia dibawa ke dalam bilik ini. Ahmad dan yang lain-lain sambung mengemas barang yang entah bila akan habis.

Kak Hawa menyerahkan bekas cincin pada Ibu Ahmad. Marisa dan Asiah menjadi penonton sebagai saksi. Ibu Ahmad membuka bekas cincin dan menunjukkan cincin tersebut pada K. "Sebenarnya, memang Ibu ingin jumpa Karimah sebelum kembali ke Malaysia. Siapa tahu kebetulan kita berjumpa hari ini. Ibu tak boleh tunggu lagi. Ibu nak sarungkan cincin ni pada jari Karimah. Ayah dan emak Karimah juga berkenan dengan cincin ni," K serba salah mendengar pengakuan Ibu Ahmad. K sempat menjeling pada Marisa dan Marisa hanya memberi isyarat supaya K terima sahaja.

"errr...tak apa ke macam ni? Tak melanggar adat?" sempat K bertanya. Dia perlukan kepastian terlebih dahulu. Tak mahu dikata bakal menantu kurang beradab. Ibu Ahmad hanya senyum.

"tapi patuh syariah kan? Adat tu sebagai syarat sahaja," Kak Hawa mencelah yang duduk disebelah kiri K. Menjawab bagi pihak ibu dan keluarga Ahmad.

"kalau semua okay, saya ikut sahaja," balas K dan mengangkat tangan kanannya tetapi ditahan oleh Kak Hawa. K sempit sengih dengan kesilapannya. Dia terlupa sebenarnya. Kak Hawa kemudian membantu K mengangkat tangan kiri K dan Ibu Ahmad menyarungkan cincin di jari manis K. Asiah dan Marisa rupanya sudah siap sedia mengambil gambar. Siapa sangka makan tengahhari bertukar menjadi majlis pertunangan K dan Ahmad.

Ibu Ahmad juga memaklumkan bahawa pihak keluarga K setuju untuk dilangsungkan majlis perkahwinan pada tahun baru cina tahun depan. Ini bermakna enam bulan dari sekarang K akan diijab kabul dengan Ahmad. Hatinya tiba-tiba berdebar. Adakah dia benar-benar sudah sedia?

dua minggu kemudian, keluarga Ahmad kembali ke Malaysia dan Ahmad menyertai keluarganya pada minggu berikutnya kerana ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Ahmad juga diberi cuti sebulan sebelum dia mula bekerja di cawangan baru. Jumpa di Malaysia nanti, Ahmad!

Sunday, August 05, 2018

Lelaki Ideal

Selepas peristiwa Marisa berkomplot dengan Ahmad dua minggu lepas, K menolak ajakan Marisa untuk bertemu di luar. K hanya memberi dua pilihan pada Marisa sama ada datang berjumpa K di rumahnya atau berbual di talian sahaja untuk pertemuan seterusnya. K masih makan hati dengan Marisa.

"assalamualaikum," sapa Marisa apabila K membukakan pintu untuknya. K buat muka kelat. Sengaja sebagai amaran supaya tidak main-mainkan perasaannya. Marisa melangkah masuk.

"macam aku janji, aku dah masakkan spaghetti bolognese untuk makan tengah hari kita,"kata Marisa sambil meletakkan makanan yang dia bawa di meja makan. K buat tidak tahu. K terus duduk di sofa. Dia menekan alat kawalan jauh. Dia sambung tengok ceritanya yang tergendala. Marisa kemudian membuka peti sejuk dan mengeluarkan pek strawberi tanpa bertanya K terlebih dahulu. Marisa tahu pek strawberi itu adalah milik K kerana segala makanan yang di susun pada para pertama dalam peti sejuk itu adalah kepunyaan K. Peraturan itu masih kekal ketika dia tinggal bersama K untuk mengelakkan percampuran makanan dengan teman serumah yang lain.

Marisa membilas strawberi terlebih dahulu sebelum dia bawa ke ruang tamu. Marisa duduk sebelah K. "cerita apa?" tanya Marisa. Dia tahu K terkilan dengannya kerana membelakangkan K tentang temu janji K dengan Ahmad.

"Gentleman's Bride," jawab K. K sudah beritahu Marisa awal-awal. K mahu marathon drama dengan Marisa sambil mereka berbual. Walaupun K terasa dengan sikap Marisa, K tetap menjadikan Marisa sebagai tempat dia meluahkan rasa dan rujukan untuk sesuatu perkara.

"drama apa ni?" soal Marisa berkerut dahi cuba memahami bahasa drama tersebut.

"turki," K masih lagi dalam mood apabila ditanya dia hanya akan jawab sepatah perkataan sahaja. Marisa mengangguk. Marisa menyuakan pek strawberi pada K. K ambil sebiji.

"kenapa tiba-tiba boleh layan drama turki pula ni?" tanya Marisa tanpa memandang K. Tangan masih belum berhenti menyuap strawberi ke dalam mulut. Matanya pula tertumpu pada skrin televisyen.

"sebab hero dia kacak," K ambil lagi sebiji strawberi di pangkuan Marisa. K perkenalkan hero utama Gentleman's Bride. Marisa juga turut bersetuju hero drama turki tersebut kacak. Kacak kerana matanya yang cantik. Mata hero tersebut berwarna biru sangat menyerlah dengan latar belakang tempat drama yang sangat menarik. Marisa dan K diam seketika. Masing-masing asyik melayan drama turki.

K baca sinopsis drama Gentleman's Bride terlebih dahulu sebelum dia meneruskan untuk melayan keseluruhan 30 episod. Hero drama ini adalah si lelaki budiman dan heroin drama adalah pengantin lelaki budiman tersebut yang mempunyai perwatakan yang berbeza. Pengantin lelaki budiman adalah perempuan yang kasar dan ganas seperti lelaki. Mereka bertemu ketika si lelaki budiman ditugaskan melaksanakan misi di sebuah kampung yang mana merupakan kampung asal pengantin lelaki budiman. Menariknya drama ini adalah ia berlaku di zaman 1930-an. K yang kebetulan dalam mood ingin menonton drama bersejarah terjumpa klip drama tersebut di youtube terus tertarik untuk menonton.

"aku ada soalan trivia untuk kau," tiba-tiba Marisa bersuara. K menoleh sekilas.

"apa?"

"soalan rawak. Tahu tak siapa datuk Nabi Isa?" tanya Marisa dengan teruja.

"Imran. Ayah kepada Ibunda Nabi Isa, Maryam,"selamba K jawab mematikan rasa teruja Marisa. Marisa mencebik. Dia menyiku K sebagai tanda tidak puas hati.

"tak seronok la,K!"Sebenarnya Marisa baru sahaja tadabbur surah Maryam dengan Aaron malam tadi. Dia ingin berkongsi ilmu yang baru sahaja dia dapat. Kalau sebelum ini, bila Marisa mempelajari sesuatu ilmu dia suka untuk beritahu pada K walaupun Marisa tahu K sudah lama tahu. Namun tidak hari ini. K seperti mahu mematahkan semangatnya.

"kau salah waktu Marisa," rupanya K masih belum lupa apa yang terjadi. K benar-benar serius terasa hati dengan peristiwa dua minggu lepas.

"you still can't forgive and forget for what happened last two weeks, K?" Marisa sudah speaking, ini bermakna perkara itu adalah serius untuk mereka bincang. K geleng.

"tell me, why?" Marisa mengalah. Dia ingin cuba memahami perasaan K. Yang pasti, memang salah Marisa berkomplot dengan Ahmad belakang K.

"you cross the border line, Marisa. Kau tahu aku tak boleh terima kejutan. Hari itu aku hampir sesak nafas. My anxiety attacks me, Marisa," ujar K sambil memandang tepat pada wajah Marisa. Benar, sebab itu K terus berlalu tanpa berkata-kata pada hari itu. Seluruh badan menggeletar setelah mendengar lamaran Ahmad. Dia juga hampir sesak nafas. Jantung berdegup kencang. Tangannya sejuk. Mujur K cepat keluar dari muzium dan menarik nafas sedalamnya.

Biasanya sekiranya ada majlis atau acara istimewa, K akan berunding dengan doktornya terlebih. Sekiranya majlis tersebut menuntut K bersosial dengan orang yang tidak kenali atau suasana yang asing, doktor akan preskripsi ubat anti-anxiety untuk K. Atau kalau K akan bersidang untuk projeknya, K akan ambil pil anti-anxiety. Walaupun K sudah berhenti menerima rawatan dan ubat, K masih lagi ada temu janji susulan dengan pakar psikologinya.

Air mata menitis ke pipi Marisa. Dia benar-benar terlupa dengan anxiety yang dialami K. "oh,no! K, aku minta maaf. Kali ini aku betul-betul buat silap. Aku tak ingat kau ada anxiety," Marisa memeluk sisi K. Rasa bersalah menyelinap dalam hatinya. Perasaan teruja telah menguasai perasan Marisa ketika Ahmad menyatakan rancangannya melamar K sehingga dia lupa untuk masalah anxiety K.

"aku gembira bila Ahmad melamar aku, Marisa. Anxiety tu serang tak tunggu kau sedih atau gembira. Mujur saja aku tak rebah depan dia hari tu, Marisa," luah K. K tidak sanggup memikirkan kalau dia pitam di muzium hari tu. Pasti semua orang akan panik. Ahmad tentunya akan risau kalau K rebah di kawasan orang ramai begitu. Mana ada orang pengsan ketika di lamar. Kalau ada, K lah yang mencipta rekod tersebut.

"nasib baik juga kau datang dekat waktu tu. Kalau tak, aku tak tahu apa akan jadi." tambah K lagi. Dia memandang Marisa sekilas.

"boleh aku tahu apa yang kau rasa? Maksud aku, kau terima dia atau tidak?" tanya Marisa dengan prihatin. K bersandar pada bahu Marisa. Drama Gentleman's Bride masih lagi ditayangkan. Marisa dan K sudah tidak peduli dengan konflik yang dihadapi oleh pengantin lelaki budiman.

"entah lah. aku keliru sejak aku tengok drama ni," luah K dengan perasaan berkecamuk.

Berkerut dahi Marisa. Tidak faham dengan apa yang K cuba sampaikan. Apa kaitan drama Gentleman's Bride dengan perasaan K pada Ahmad? "kenapa pulak?"

"mula-mula aku tengok drama ni, aku dah tahu lelaki mata biru tu hero. Perempuan yang kening lebat tu pula heroin. Aku sangkut dengan drama ni sebab hero tu. Kacak. Bertanggungjawab. Gagah pula tu. Selalu melindungi heroin bila dia ada masalah. Aku jadi mula tertanya apakah ciri-ciri lelaki ideal aku. Masa kau dengan Aaron dulu, dia ada ciri-ciri lelaki idaman kau tak?" soalan K buat Marisa termangu seketika.

"Aaron tu macam hujan. Datang tanpa aku sangka. Masa aku sekolah menengah dulu aku nak lelaki yang kacak. Yang terkenal dan pandai. Tapi bila aku sambung belajar dekat sini, aku dah tak hairan tengok lelaki kacak. Yalah, semua lelaki mat saleh kau tengok dekat sini semua kacak. Aku pun sedar, lelaki yang terkenal dan pandai takkan pandang aku. Seperti yang aku cakap pada Aaron dulu, aku tak cantik. Memang aku tak cantik pun sebab aku dapat tahu budak lelaki masa sekolah dulu buat carta perempuan paling cantik. Aku antara senarai paling bawah." Jelas Marisa dengan rendah diri.

"lepas tu, sekarang ciri-ciri lelaki ideal kau macam mana?" K masih tidak berpuas hati dengan jawapan Marisa.

Marisa mula mengimbau pertemuan dia dengan Aaron. Aaron bertentangan dengan ciri-ciri lelaki idealnya. Pada orang lain, Aaron mungkin kacak. Namun pada pandangan mata Marisa, Aaron hanya lelaki biasa. Aaron juga tidak terkenal atau pandai ketika di universiti. Dia hanyalah tipikal lelaki ke universiti untuk belajar dan genggam ijazah. Marisa mula sedar, lelaki ideal yang jumpa dalam diri Aaron adalah sikapnya yang serius dan bertanggungjawab. Malah, bila Marisa bersama Aaron dia rasa damai. Sebab itu Aaron ibarat hujan. Turun tanpa disangka tapi menenangkan.

"aku tak tahu Ahmad adalah lelaki ideal yang aku cari atau tak? Aku tiba-tiba rasa aku tak tahu pasal diri dia. Maksud aku, orangnya macam mana? Cepat marah atau jenis anak mak? Aku takut aku tidak boleh terima kekurangan dia," K mula menceritakan kebimbangannya.

"waktu mula-mula kau jumpa dia, apa yang kau nampak?" Marisa tenang mendengar masalah K. Pipi K mula merah.

"mula-mula aku jumpa dia, aku rasa dia lelaki soleh. Sebab dia bagi salam. Lepas tu tegur aku dengan mesra. Maksud aku ramah. Kemudian, dia tak segan nak tilawah dalam keretaapi." K memegang pipinya sambil bercerita pada Marisa. K masih rasa segan ketika mengimbau pertemuan pertama K dengan Ahmad.

"jadi, kau suka dia layan kau begitu?" Marisa cuba provok K. K tidak terus jawab. Dia mengurut dagunya sambil memikirkan sesuatu.

"bukan suka tapi dia buat aku rasa selesa dan tidak janggal bila duduk sebelah dia. Aku rasa dia lelaki pertama layan aku begitu. Aku selalu rasa malu kalau jumpa mana-mana lelaki tetapi dengan dia, malu tu masih ada cuma dia buat aku rasa aku boleh berbual dengan dia tanpa apa-apa prasangka," ulas K. K rasa pertemuan dia dengan Ahmad di dalam keretaapi seperti baru sahaja berlaku. Siapa tahu sudah hampir setahun peristiwa berlaku.

"sekarang apa yang buat kau teragak-agak terima dia?" tanya Marisa yang masih tidak memahami kerisauan K.

"waktu aku kecil dulu, aku letak ayah aku sebagai panduan sebagai lelaki ideal. Aku nak cari lelaki macam ayah aku. Sebab waktu kecil dulu, ayah aku tak bagi abang-abang aku berkasih dengan anak orang. Ayah suruh abang-abang aku kena melindungi adik-adik dia yang perempuan. Ayah aku tegas dengan abang-abang tapi dengan kami adik-beradik perempuan ayah berlembut. Ayah tak pernah suruh kami adik beradik perempuan pakai tudung tapi kami rela hati pakai tudung sampai sekarang. Dan, aku tak nampak ciri-ciri lelaki idaman aku pada Ahmad," ujar K sambil memandang Marisa dengan keliru. Marisa mengeluh. Dia cuba menghadam masalah K.

"kau tahu K, lepas aku kahwin dengan Aaron, aku baru nampak ciri-ciri lelaki ideal aku nak ada pada Aaron. Memang Aaron bukan pandai tapi dia suka belajar. Tambah ilmu. Kau pernah dengar dia cakap dia belajar Islam bukan sebab sukakan aku. Dia belajar Islam sebab perasaan ingin tahu dia yang tinggi. Lepas dia memeluk Islam, dia lamar aku. Dia lamar aku sebab dia suka tengok aku bersungguh belajar Islam dengan dia. Kau tak dapat semua ciri-ciri tu tapi bila dapat satu, kau akan rasa bersyukur sangat. Aku rasa kau akan jumpa ciri-ciri yang kau nak pada Ahmad lepas kau terima dia. Kau dah istikharah, kan?" pujuk Marisa. Naluri hatinya berkata Ahmad adalah calon yang sesuai untuk K. Ahmad adalah lelaki pertama yang bersungguh untuk mengenali K dan terus melamar K tanpa teragak-agak.

"aku dah buat, cuma aku perlukan masa lagi. Aku belum beritahu keluarga aku lagi. Kau tolong bagitahu Ahmad, dua minggu lagi aku bagi jawapan," jawap K sambil bangkit beralih ke meja makan. Perutnya terasa lapar. Dia macam nampak spaghetti bolognese sedang memanggilnya. Marisa turut bangkit. Nampaknya kusut di minda K sudah terlerai.

nota: Drama Gentleman's Bride adalah  drama imaginasi sahaja.