Thursday, February 27, 2014

The Death And Life of Charlie St. Cloud

0 comments
Ben Sherwood, 2004

Charlie, 15 tahun, adalah remaja yang menjadi harapan ibunya serta masyarakat di bandar tempat tinggalnya kerana dia bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran dan sukan, tetapi juga baik perwatakan dan rupa yang kacak juga. Malangnya kehidupannya berubah sama sekali selepas kereta yang dipandunya kemalangan dan mengorbankan satu-satunya adiknya, Sam, 12 tahun.

Semasa mereka di ambang maut, Charlie telah berjanji kepada Sam yang mereka tidak akan berpisah sama sekali tetapi malangnya Charlie telah berjaya diselamatkan sedangkan Sam tidak bernasib baik.

Selepas kejadian itu, Charlie mendapati dia mendapat satu anugerah kerana dia masih dapat bertemu dengan Sam. Setiap petang pada saat yang sama dia akan berada di suatu tempat dan Sam akan datang untuk bermain lontar bola bersama.

Charlie sekarang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pengurus mayat di tapak kuburan di bandar tempat tinggalnya. Dia tidak pernah memungkiri janjinya dengan Sam selama lebih 13 tahun sejak kejadian kemalangan itu. Mereka masih seperti dulu, bertemu di satu tempat pada setiap hari dan bermain bola lontar bersama.

Bagaimanapun kehidupan Charlie berubah selepas dia bertemu Tess, seorang gadis cekal dan bertenaga yang sedang bersiap-sedia untuk menyertai pertandingan mengelilingi lautan seorang diri.

Apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Charlie akan memungkiri janjinya kepada Sam?

Cerita ini telah difilemkan pada 2010 dan dibintangi oleh Zac Efron. Dari trailer filem, saya mendapati ada sedikit kelainan dengan novel. Ada babak drama yang tidak ada di novel. Mungkin mereka menambah babak drama emosi untuk menarik perhatian penonton dan menambah rasa pada cerita. Mungkin juga filem lebih baik dari novel.

★★★★
Buku ke 4, 2014

Tuesday, February 25, 2014

Qaseh Puteri: Mengejar Bayangan Kasih Puteri

0 comments

Moh Dat Molok, 2011

Buku kedua dalam trilogi 'Qaseh Puteri' ini mengisahkan, bagaimana Tuan Besar Keramat Antonio Arantez mengusir Qaseh Puteri ke Goa bagi menutup segala dosa dan onarnya. Tetapi malang, Flor de La Mar yang dinaikinya dihalang dan dibedil oleh sebuah lancang kepunyaan Acheh. Di sudut lain selepas Panglima Hitam meninggal dunia, Panglima Muda Tun Mahmud dilantik sebagai ketua baru dalam 'Angkatan Singa Laut' bagi menggempur Portugis. Demi persahabatan, Mother Rosalia dan Nyi Gede bersama dengan sebuah ghali Portugis yang diketuai oleh Kapten Delgado, pergi menyiasat di tempat kejadian tanpa persetujuan Simao de Mello. Namun kelibat 'puteri junjungan' tidak berhasil dijumpai. Mungkinkah Qaseh Puteri sudah terkorban dalam pertempuran itu?

Sama seperti buku pertama, banyak perkara yang tidak nampak signifikan tetapi telah ditulis panjang lebar. Contohnya adalah adegan perdebatan tentang agama Islam dan Kristian di antara beberapa pemuda Islam dan paderi-paderi di sebuah gereja. Bahagian ini meliputi 45 muka surat pertama tetapi apa kena mengena adegan perdebatan ini dengan kisah Qaseh Puteri ini? Memang tidak nampak kaitan lansung.

Oleh itu seperti juga pada buku pertama, apa yang boleh dikatakan ialah garapan cerita buku ini tidak kemas. Terlalu banyak yang ingin disampaikan di dalam sebuah buku novel yang membuatkan semuanya menjadi tergantung dan separuh jalan. Selain dari itu percampuran antara fiksyen dan bukan fiksyen yang tidak dikawal dan tidak dijustifikasi telah menambahkan kekeliruan sahaja.

★★
Buku ke 3, 2014

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

w.a.g.a.m.a.m.a.j.i.n.s.e.i Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template