Showing posts with label Rezeki. Show all posts
Showing posts with label Rezeki. Show all posts

Wednesday, October 6, 2010

Ketentuan Rezeki Semuanya Daripada Allah s.w.t.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap jodoh pertemuan, ajal-maut dan rezeki adalah semuanya di tangan Tuhan. Maksudnya ianya telah semuanya di dalam ilmu Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang ghaib."(Surah al-Anaam: ayat 59).

Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah s.w.t. melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.

Dalam soal rezeki manusia hanya diminta untuk berusaha , berdo'a dan bertawakkal. Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah s.w.t. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah s.w.t. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Sebagai seorang manusia biasa kadangkala keyakinan dan pergantungan kita kurang kepada Allah s.w.t. Kita menganggap usaha-usaha kitalah penentuaan segala-galanya untuk mendapatkan rezeki. Tetapi seorang Mukmin berbeza pandangan dan keyakinannya. Ikhtiar dan usahanya adalah dalam rangka ibadah tetapi pergantungannya mutlak kepada Allah s.w.t. Jika dia memperolehi sedikit rezeki dia redha dan menerima banyak dia bersyukur kepada-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita lihat satu kisah yang berlaku di Madinah seorang ibu tunggal yg Mukmin lebih yakin dan redha akan rezeki kurniaan Allah s.w.t.  daripada seorang seorang ahli perniagaan. 

Suatu ketika Madinah di timpa kemarau berpanjangan. Bekalan makanan terutamanya gandum makin berkurangan. Harga barang-barang keperluan turut melambung naik. Bagi yang hartawan sibuk membeli dan menyimpan bekalan makanan yang dikhuatiri akan habis di pasaran. Sedangkan rakyat yang miskin berbelanja hanya seadanya sahaja. Tidak tentu bagaimana nasib mereka jika mungkin di pasar kehabisan makanan. Begitu sekali keadaan yang berlaku, kaum yang berada seolah-olah sangat takut jika terpaksa berhadapan dengan kebuluran.

Di sebuah ladang, seorang tuan ladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun hasil ladangnya di bahagi tiga . Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk di sedekahkan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim dan sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.

Di sebabkan kemarau, hasil ladangnya turut terjejas dan berkurangan. Sukatan yang biasa di gunakan mengalami masaalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun , dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika di ambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah di janjikan. Masaalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas pergi meminta nasihat dari ulama’ sufi.

Ulama’ sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang : “Di hujung kampung ada seorang ibu tunggal dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan.”

Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama’ sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah ibu tunggal miskin yang di maksudkan dengan membawa gandum untuk di sedekahkan.

Ibu tunggal : “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”

Tuan ladang : “Saya membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”

Ibu tunggal : “Anak-anak saya sudah tidur.”

Tuan ladang : “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”

Ibu tunggal :” Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok.?”

Tuan ladang : “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”

Ibu tunggal : “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain.

Setiap patah kata-kata ibu tunggal beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, ibu tunggal tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain. Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari ibu tunggal miskin itu di kalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. Juga dengan senang hati mengagih-agihkan rezeki yang telah Allah amanahkan.

Pertemuan dengan ibu tunggal tersebut juga mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim ,seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah. Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. 

Sahabat yang dikasihi Allah,
Bagaimana sikap kita menghadapi kegawatan kewangan yang kita alami? Dan menghadapi  keperluan  hidup yang mencabar, dan bagaimana bentuk keyakinan di hati kita? Adakah kita meyakinan akan rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t?

Islam sememangnya menganjurkan umatnya sentiasa gigih berusaha mencari rezeki juga membaiki cara hidup. Namun sepenuh pengharapan positif mestilah di serahkan kepada Allah, yang menetapkan kadar rezeki setiap hamba-Nya. Usah sekali-kali kekhuatiran terhadap kepentingan diri sendiri menghalang kita memenuhi hak dan amanah yang telah Allah tetapkan. Sentiasalah ingat kita ini juga adalah hamba kepada Yang Maha Pemurah. Keadaan ini kekal dan tidak berubah sehingga tiba hari perhitungan.

Rasulullah s.a.w mengajar kita berdoa untuk memohon kepada Allah s.w.t. agar mendapat peluang perniagan dan rezeki yang lumayan, maksudnya :

"Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hamba-Mu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu)."
(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Tabrani)


Sahabat,
Marilah kita ubah sikap tidak mementingkan diri sendiri dan mementingkan keperluan orang lain kerana ini adalah satu peribadi yang mulia dan di tuntut oleh Islam.
Apabila menghadapi sesuatu masaalah kita di galakkan merujuk permasaalahan kita kepada orang yang lebih arif dan berilmu supaya masaalah tersebut dapat di atasi dengan baik.

Teruskanlah bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim kerana ini adalah amalan mulia dan akan di beri ganjaran pahala yang besar oleh Allah s.w.t.

Keyakinan kita yang mutlak bahawa rezeki itu datang dari Allah s.w.t yang bersifat Maha Pemurah adalah dari keimanan kita kepada Tauhid Rububiyah dan sebagai hamba Allah kita di minta berikhtiar tetapi segala keputusan dan ketetapan datang dari Allah s.w.t dan hendaklah kita meredhainya.

Wednesday, November 18, 2009

Belajar Tawakal Daripada Semut

Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).

Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.

Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.

Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?

Pengajaran yang boleh di perolehi :
1. Semut lebih yakin kepada jaminan Allah (bertawakal kepada Allah) ketika di luar botol berbanding "jaminan" manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat, supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih ada makanan yang boleh digunakan.

2. Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah s.w.t.? Oleh itu yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah s.w.t. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak merancang untuk anak tersebut.

Saturday, November 14, 2009

Rezeki : Antara Janji Allah dan Usaha Manusia

Sahabat yang dimuliakan Allah,
Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdo’a kepada Allah agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap kanak-kanak Muslim juga di ajari sejak dari Tadika lagi untuk berdo’a sebelum makan. Barakah dari rezeki itulah yang kita hajatkan.

Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam mencari rezeki juga , dapat menguatkan aqidah seorang Muslim, Allah s.w.t. adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai kita lupa kepada Allah s.w.t. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu kisah dizaman tabi’in, seorang wanita dan beberapa orang anak-anaknya menjadi perhatian orang ramai terutama kaum wanita yang berkerumun di rumahnya. Semua yang hadir menampilkan wajah yang redup menggambarkan kesedihan yang mendalam. Rumah itu adalah rumah salah seorang tabi’in yang syahid dalam pertempuran. Orang ramai yang hadir ingin mengucapkan takziah kepada isteri tabi’in itu. Sebahagian dari mereka merasa khuatir terhadap nasib isteri dan anak-anak tabi’in yang syahid itu. Tanpa disedari terlahir kata-kata dari salah seorang wanita dari mereka :”Bagaimana nasib dia dan anak-anaknya nanti. Siapa yang akan memberinya makan dan pakaian…”

Mendengar kekhuatiran wanita itu, isteri tabi’in itu menjawab dengan nada yang tegas dan yakin : “Setahu saya, suami saya adalah pemakan (rezeki Allah) dan bukan pemberi rezeki. Maka jika pemakan (rezeki) itu tiada maka Pemberi rezeki pasti tetap ada.”

Keyakinan bahawa hanya Allah yang mengurniakan rezeki kepada manusia dan seluruh makhluk adalah hasil dari Tauhid Rububuyyah. Ini bermakna ikrar dan pengakuan bahawa Allah adalah Rabbul ‘Alamin (Tuhan sekelian alam) secara otomatik mesti bermaksud keyakinan hanya Allah saja Pemberi rezeki. Tanpa keyakinan ini bermakna seseorang tidak memiliki Tauhid Rububuyyah manakala tanpa tauhid ini bagaimana seseorang itu akan mempunyai Tauhid Uluhiyyah?

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu keyakinilah ‘hanya Allah Pemberi rezeki’ merupakan jambatan bagi manusia agar mereka mengabdikan diri hanya kepada Allah (Tauhid Uluhiyyah). Ini terakam dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud, : “Katakanlah, ‘Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa mencipta pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?’ Maka mereka akan menjawab, ‘Allah’. Maka katakan, “Mengapa kamu tidak bertakwa (kepada-Nya)?”
(Surah Yunus ayat 31).

Allah juga menegaskan bahawa setiap makhluk mempunyai hak untuk mendapatkan rezeki dan Dialah yang menjaminnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan tiada suatu makhluk melatapun di muka bumi melainkan (menjadi) jaminan Allah lah rezekinya.”
(Surah Huud ayat 6).

Individu Muslim yang meyakini rezeki itu hanya datang dari Allah mampu menunjukkan kesan yang mendalam terhadap rohnya. Antara kesan yang jelas kelihatan pada mereka yang yakin adalah memiliki pandangan yang positif terhadap kehidupan. Ia dengan penuh yakin mengorakkan langkah-langkah dalam kehidupan. Dia sentiasa menghadapi pelbagai gelombang kehidupan dengan penuh optimis terutama tentang keperluan kebendaan. Kisah isteri tabi’in di atas mengambarkan sikap ini yang perlu dicontohi. Ungkapan kata-kata isteri tabi’in tadi mesti sentiasa terukir abadi dalam setiap diri kita.

Apabila hati seorang yakin bahawa segala yang diperolehi dalam hidupnya semata-mata datang dari Allah maka dia tidak akan bergantung kepada sesiapa pun selain Allah s.w.t. Dia tidak akan merasa takut berkurangnya rezeki apabila mengatakan atau melaksanakan sesuatu yang benar.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Allahlah yang telah menjadikan bagi kamu bumi sebagai tempat menetap dan langit sebagai atap dan membentuk kamu lalu memperelokkan paras rupamu serta memberimu rezeki dari yang baik-baik. Itulah Allah Rabb kamu. Maha Suci Allah, Rabb sekelian alam. Dialah Yang Maha Hidup. Tiada Tuhan selain Dia. Maka sembahlah Dia dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.”
(Surah Al-Mukmin ayat 64-65)

Sudah pasti orang yang yakin kepada Allah akan sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta dan Pemberi rezekinya, tiada pada yang lain.

Sahabatku,
Allah Pemberi rezeki. Namun ini bukan bererti manusia hanya menadah tangan berdo’a sahaja tetapi tidak berusaha dan berikhtiar untuk bekerja mencari nafkah. Rezeki yang dijanjikan Allah mesti diiringi dengan usaha. Antara usaha yang perlu kita laksanakan adalah bekerja dan berusaha secara yang halal dan menjauhi perkara-perkara yang haram dan syubahat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Rezeki datang dari Allah. Oleh itu ia mesti di manfaatkan sesuai dengan kehendak Allah. Guna dan belanjakanlah rezeki yang diperolehi mengikut batas ketentuan Allah bukan menurut seruan hawa nafsu. Atur dan rancanglah rezeki yang ada agar ia menjadi saksi kepada kita di hari Perhitungan. Bersederhanalah dalam membelanjakan harta, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir dan adalah (perbelanjaan) itu di tengah-tengah antara yang demikian." (Surah Al-Furqan ayat 67)

Berapa banyak pun harta yang di perolehi hendaklah kita bersyukur. Kekurangan dalam memiliki harta bukan bererti Allah tidak menyayangi kita. Berlimpahnya harta pula bukan bermakna kita di sayang Allah. Semuanya adalah ujian bagi kita untuk dinilai oleh Allah siapa yang paling bersyukur. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah (rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim ayat 7).

Selain daripada bersyukur kepada Allah di atas pengurniaan rezeki, kita juga dikehendaki memohon kepada Allah agar rezeki yang di perolehi mendapat keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang cita-citanya adalah dunia, maka Allah akan memporakperandakan urusan kehidupannya. Menjadikan kefakiran di hadapannya. Dan ia tidak memperolehi bahagian dunia selain dari yang sudah diberikan kepadanya. Dan barangsiapa menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah akan membereskan urusan hidupnya. Menjadikan kekayaan berada di dalam hatinya. Dan dunia akan menghampirinya tanpa perlu di kejar-kejar." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tarmidzi.

Akhirkata, yakinilah bahawa rezeki yang kita perolehi dan makhluk-makhluk Allah yang lain adalah atas sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t. Dan jangan adapun sedikit keraguan di dalam hati dan sanubari kita. Sesungguhnya segala keraguan datangnya dari syaitan dan Iblis laknatullah. Mohonlah perlindungan Allah s.w.t. dari segala bentuk gangguan dan keraguan.