Back to home page

Tweet-tweet

    Tentang Blog Ini

    ...lebih bersifat komentar tentang isu sosial. Blog ini jarang ada entri baru. Ada masa, aku tulis. Tak cukup masa, aku tak tulis.
    Oleh Tawel SenseiHubungi

    Hembusan boleh dilanggan secara
    e-mel atau pun RSS. (?)


    Memaparkan catatan dengan label hadith. Papar semua catatan
    Memaparkan catatan dengan label hadith. Papar semua catatan

    3F - Fakta, Fitnah, Fasik

    16 Mac 2008 • 9 Komen
    I
    Kepadamu ahli-ahli politik yang membuat pelbagai kenyataan yang bersifat kontroversi atau pun tidak: Citation is always needed. Berikan saya fakta, statistik, graf dan carta pai.

    gambar kartun politik

    II
    Kepadamu media arus perdana, etika kewartanan yang baik adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia, khususnya buat masa ini. Berikan saya berita yang adil, telus, tidak memfitnah dan tidak juga memprovokasikan semangat perkauman.

    Sabda Rasulullah sallahualayhi wassalam:

    لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
    "Tidak masuk Syurga orang yang menabur fitnah." (Hadith riwayat Imam Muslim)



    III
    Kepadamu rakyat Malaysia yang beragama Islam khususnya, Allah telah berfirman:

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ
    فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِي


    Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (Al Hujurat ayat 6)
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Kalau Salah, Jolok Mereka

    18 Mei 2007 • 19 Komen
    Buah cempedak di luar pagar,
    Ambil galah tolong jolokkan,
    Saya budak baru belajar,
    Kalau salah tolong tunjukkan

    Saya sampai sekarang masih tidak faham tentang karenah orang-orang Islam kita yang tiba-tiba datang berkobar-kobar semangat juang Islamnya. Dalam kes ini, saya merujuk kepada semangat juang orang muda yang biasanya berusia dalam lingkungan lewat 10-an hingga akhir 20-an. Anak-anak muda ini minat belajar ilmu-ilmu Islam. Tapi apa yang saya tidak faham ialah, mengapa dalam banyak-banyak mutiara yang tertanam di dalam ilmu Islam itu, perkara-perkara remeh yang diberikan penekanan?

    Jika setakat mahu belajar benda yang remeh-temeh tidaklah mengapa sangat. Apa yang jadi masalah, mereka kemudiannya menjadikan isu-isu kecil ini seolah-olah menjadi satu isu ummah yang sangat besar, yang wajar diambil tindakan segera. Seakan-akan juga, barangsiapa yang masih lagi jahil tentang perkara itu, maka sahlah mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka.

    Sebagai contoh, saya ambil realiti anak-anak muda yang minat dalam bidang hadith (tapi bukan yang jenis memang membuat pengkhususan dalam bidang hadith). Mereka belajar, belajar dan belajar. Baca kitab-kitab hadith itu dan ini untuk memahami apa itu sanad, apa itu matan, apa itu hadith sahih, apa itu hadith gharib, apa itu hadith daif, apa itu hadith ahad, apa itu hadith mutawattir, dan sebagainya. Baguslah. Tak pun kata salah. Apa yang salahnya, apabila mereka sudah tersilap analisis dalam mengetahui apakah prioriti sebenar dalam mencari ilmu hadith itu.

    Mereka ini buat kecoh-kecoh dengan mendakwa, contohnya, "Tahukah anda bahawa hadith yang mengatakan surah Yasin itu sebagai hati Al-Quran adalah palsu?" atau "Tahukah anda bahawa hadith yang menganjurkan kita menuntut ilmu hingga sampai ke negeri China adalah palsu?"

    Ini cuma dua contoh paling popular sahaja. Dakwaan yang sebenarnya tidak perlu diperbesarkan ini, telah membuang masa banyak anak-anak muda kita, dan tidak ketinggalan juga umat Islam secara keseluruhannya, dari melakukan sesuatu yang lebih utama dalam hidup ini. Golongan-golongan yang kehilangan masa ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis:
    1. Golongan yang memulakan dakwaan tersebut. Golongan ini mahu umat Islam tahu bahawa dua hadith tersebut adalah palsu dan tidak patut disebut-sebut lagi. Maka mereka melancarkan jihad berkobar-kobar bagi menyebarkan info ini.

    2. Golongan kedua pula adalah yang mahu meredakan kekeruhan dan kekecohan yang ditimbulkan oleh golongan pertama. Golongan yang pertama dan kedua ada juga dari kalangan yang sangat ekstrim dan berego tinggi. Golongan yang berego tinggi ini lebih banyak menggunakan emosi ketika berhujah.

    3. Golongan ketiga pula adalah mereka yang tidak tahu menahu sangat tentang perbahasan hadith-hadith tersebut yang dilakukan oleh golongan pertama dan kedua. Akan tetapi mereka berasa tidak seronok, rasa tak best di hati apabila hadith yang mereka amalkan selama ini dan selalu dipetik untuk dijadikan nasihat kepada sahabat handai dan keluarga, rupa-rupanya adalah palsu! Dengan itu, untuk mengetahui apa kisah dan isu sebenarnya di sebalik perdebatan tentang hadith tersebut, maka golongan ketiga ini pun terpaksalah membuang masa mereka untuk mencari jawapan kepada rasa ketidak-best-an di dalam hati dan kekeliruan di dalam fikiran.

    Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, sama ada isu taraf hadith tersebut diperbincangkan atau tidak diperbincangkan di dalam masyarakat awam Islam, ia tidak akan mampu meningkatkan produktiviti ummah ini walau seinci pun, tetapi sudah terang lagi bersuluh yang ia 100% dapat mengurangkan produktiviti ummah. Ini kerana apa yang mereka perdebatkan itu adalah salah satu lagi perkara khilaf. Hadith juga seperti ilmu fiqh; ia tidak terlepas dari khilaf oleh para ulama.

    Contohnya, mengapa ada hadith-hadith yang diberikan taraf sahih oleh Imam Bukhari tetapi tidak dianggap sahih oleh Imam Muslim dan para imam mujtahid hadith yang lain? Imam yang berbeza mempunyai standard tertentu dalam menentukan taraf sesuatu hadith. Lain Imam, lain caranya. Maka terjadilah khilaf seperti mana dalam ilmu fiqh. Perhatikan analogi sanad ringkas hadith di bawah:

    Imam X ---> Perawi A ---> Perawi B ---> Rasulullah s.a.w.

    Menurut Imam Bukhari, salah satu syarat untuk sesuatu hadith itu diberikan taraf sahih ialah, bagi dua orang perawi bersebelahan dalam sanad sesebuah hadith, mereka mestilah pernah bertemu muka dan dapat dibuktikan melalui sejarah. Tetapi bagi Imam Muslim pula, cukuplah jika dua orang perawi bersebelahan ini ada kebarangkalian untuk bertemu (Rujuk bab Why Muslim follows Madhabs dari kitab Al-Maqasid oleh Sheikh Nuh Ha Mim Keller).

    Contohnya perawi A tinggal di Bandar X. Perawi B pula tinggal di Y. Jika Perawi B pernah melawat Bandar X (iaitu tempat tinggal Perawi A) sekurang-kurangnya sekali, maka sanad hadith itu sudah boleh dianggap sahih jika menurut piawaian Imam Muslim dan kebanyakkan para ulama hadith yang lain. Tetapi bagi Imam Bukhari, hadith berkenaan tidak boleh diberikan taraf sahih.

    Jangan Buka Isu Khilaf

    Orang cerdik pandai akan berhujah dengan dalil-dalil ilmiah. Orang awam pula berhujah dengan lebih berpandukan common sense dan emosi. Apabila isu yang kita sentuh itu melibatkan perkara-perkara khilaf, maka sama ada kamu berhujah dengan penuh emosi, atau pun secara ilmiah, it does not matter at all. Ia tidak akan mampu menjadikan ummah ini lebih baik dari semalam, silap-silap makin roboh ikatan ummah ini.

    Tetapi apabila kita berdebat tentang isu seperti konsert lagha Jom Heboh, isu arak haram jadi halal jika ada lesen, isu rambut wanita bukan aurat, maka sama ada kamu berhujah secara ilmiah atau emosi, ia pasti akan membawa angin perubahan yang lebih baik kepada status ummah ini. Namun demikian, di dalam kes pertama dan kedua, lebih molek dan comel jika berhujah secara ilmiah. Tetapi di dalam kes pertama pula, tidak memulakan hujah adalah lebih baik.

    Tentang isu hadith menuntut ilmu hingga ke negeri China dan hadith surah Yasin sebagai hati Al-Quran itu, saya tidak akan menerangkan secara panjang lebar di sini. 2 orang bloggers yang lain sudah pun menyentuhnya, maka saya tidak akan buat kerja dua kali. Kalau mahu baca, boleh klik pautan di bawah ini.

    Secara asasnya, jangan mencari onar andai kita belum benar-benar faham sama ada apa yang kita tahu itu benar-benar apa yang para ulama mahu kita tahu. Sebab ulama faham lain. Kamu pula dengan sangat mudah faham lain. Dan tolong faham juga sama ada benda yang kamu mahu bawa berdebat itu hukumnya mutlak atau pun khilaf.

    Jika khilaf, tak perlu sentuh lebih baik. Jika mahu sentuh juga, jangan sampai pandang hina dan menyesatkan umat Islam yang berpegang kepada pandangan yang lain dari kita. Jika hukumnya mutlak, sentuhlah banyak-banyak tentang isu itu.

    Dalam ilmu hadith, jika ulama hadith ini kata hadith sekian-sekian adalah dhaif, ada juga yang mungkin menyatakan hadith tersebut hasan. Konsep ini jangan dilupakan. Asalkan yang membuat ijtihad tentang taraf hadith tersebut adalah dari mereka yang benar-benar pakar, iaitu para ulama hadith, maka kita selaku orang awam haruslah menerima sahaja ijtihad-ijtihad yang berbeza itu. Dan jangan pula kita mahu memperbesarkan polemik perbezaan tersebut.

    Biarkan hanya para ulama hadith sahaja yang berdebat tentangnya. Di zaman hari ini, apakah masih wujud pakar hadith seperti zaman dahulu. Zaman dahulu, mahu jadi pakar hadith mesti sudah menghafaz sekurang-kurangnya 100,000 buah hadith berserta sanadnya sekali. Oleh itu jika rasa tidak mampu jangan sibuk-sibuk mahu jadi pseudo-ulama hadith. Biarkan yang alim berbicara di beranda, kita yang tidak alim ini mari pergi tolong ibu di dapur.

    Fiqh

    Itu baru dalam hadith. Belum lagi masuk bab fiqh. Saya bawa contoh dalam kes sambutan Maulid Nabi. Isu tentang boleh atau tidak sambutan Maulid Nabi ini adalah antara isu yang selalu membuatkan umat Islam tidak boleh tidur sebantal, apatah lagi mahu tidur sekatil apabila menjelangnya bulan Rabiulawal.

    Seperti yang kita tahu, ada segelintir umat Islam yang lebih cenderung berpegang kepada pendapat yang mengatakan tidak boleh menyambut Maulidur Rasul. Dan seperti yang kita tahu juga, pendapat majoriti ulama adalah mengharuskannya, dan bukan mengharamkan atau membidaahkannya.

    Maka, untuk memudahkan orang-orang awam memahami tentang polemik sambutan Maulidur Rasul ini (sekaligus meningkatkan produktiviti ummah), maka pendakwah yang bijak hanya perlu menerangkan kepada mereka tentang pendapat paling kuat yang dipegang oleh ramai ulama ahlus sunnah. Sila fokus betul-betul penggunaan perkataan "orang-orang awam" itu.

    Dengan kata lain, kalau kita belajar syariah, dan kawan kita juga belajar syariah, dan kita mahu berbincang dengannya tentang hukum sambutan maulid Nabi ini, maka silakanlah guna hujah-hujah para ulama yang mengharuskan, memakruhkan, mensunnatkan, mengharamkan, atau membidaahkan sambutan maulid Nabi ini. Kamu mahu guna hujah dari tokoh ulama Syiah juga tidak mengapa. Ini kerana perbincangan kamu adalah perbincangan sesama pakar. Apabila sesama pakar berbincang, mereka wajib menyentuh sesuatu itu secara mendalam dan menyeluruh.

    Tetapi orang awam bukan pakar. Orang awam yang tidak belajar syariah adalah dungu lagi bangang di dalam syariah. Dan seorang pakar syariah juga kemungkinan besar dungu lagi bangang di dalam Teorem Asas Kalkulus dan cabang-cabangnya. Setiap orang ada bidang yang dia tahu dan tidak tahu di dalamnya. Maka, jangan buat orang yang dungu ini makin pening dengan menepukan otak mereka dengan segala macam hujah-hujah ilmiah. Sila jangan syok sendiri dalam berdakwah dengan melakukan sedikit reality check.

    Oleh itu, guna kaedah yang mudah; iaitu menerangkan kepada orang-orang awam ini pendapat yang diterima pakai oleh majoriti fuqaha. Ini sekaligus akan meningkatkan produktiviti hidup para pendakwah dan manusia yang didakwahnya.

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, apa pun jenis ilmu yang kita mahu, mesti belajar dengan kaedah yang betul. Jika kita benar-benar serius untuk mendalami ilmu Islam, maka bergurulah dengan guru-guru yang alim dan mursyid. Konsep belajar berguru ini adalah sunnah para ulama kita sejak zaman salafus soleh lagi. Ulama muktabar mana yang tidak berguru? Tiada pakar ilmu dari apa bidang sekali pun, yang lahir dari konsep crash-course.

    Imam al-Ghazali tidak menulis walau satu perkara pun berkaitan ilmu kalam melainkan setelah beliau menelaah dan menghafaz 12,000 halaman kitab-kitab ilmu kalam yang dikarang para ulama kalam yang muktabar lagi masyhur (rujuk filem Al-Ghazali: The Alchemist of the Happiness).

    Buah cempedak di luar pagar,
    Ambil galah tolong jolokkan,
    Saya budak dah lama belajar,
    Tersalah lagi tolong jolokkan.


    Saya juga masih lagi orang muda. Jika salah, joloklah saya. Begitulah adanya.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    10 - Proses Mensahihkan Hadith

    02 Mei 2006 • 0 Komen
    Imam mujtahid adalah tidak sama seperti orang awam dari segi tahap penguasaan ilmu Al-Quran dan hadith, atau pun juga dari aspek mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam. Perbezaan di antara orang awam dan para Imam mujtahid juga dapat dilihat melalui kaedah yang digunakan dalam menentukan kesahihan sesuatu hadith.

    Bagi orang awam yang ingin mencari dan menentukan taraf sesuatu hadith, biasanya mereka akan meneliti sama ada hadith tersebut wujud dalam kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, atau pun kitab-kitab Sunan hadith yang lain seperti Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmidhi. Dengan kata lain, orang awam sekadar bertaqlid kepada hadith-hadith yang ada dalam kitab-kitab hadith tersebut. Atau pun juga, apabila ada ulama hadith yang mengatakan hadith sekian-sekian adalah sahih, maka orang awam juga akan mengatakan hadith itu sahih - ini juga taqlid.

    Namun demikian, seorang imam mujtahid tidak melakukan perkara ini. Mereka tidak bertaqlid kepada mana-mana ulama hadith. Mereka menentukan sendiri (berijtihad) apakah taraf hadith yang digunakan untuk mengeluarkan hukum-hakam dalam Islam. Oleh itu, jika ada mana-mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, atau Imam Muslim dan lain-lain periwayat hadith, yang kelihatan bertentangan dengan hadith-hadith yang digunakan oleh imam mujtahid mutlak (sebagai contoh Imam Abu Hanifah dan Imam Shafi'i), sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah konkrit bagi menolak hadith yang digunakan oleh para imam mujtahid tersebut. Mengapa?

    Seperti mana wujudnya khilaf dalam proses pengeluaran hukum fiqh, begitu jugalah yang berlaku dalam menentukan taraf sesuatu hadith. Walau bagaimanapun, kita mestilah sedar bahawa khilaf di antara mazhab secara perbandingannya adalah kecil - tetapi jangan lupa bahawa khilaf tersebut tetap wujud. Di kalangan para ulama hadith pula, kaedah yang digunakan bagi menentukan dan menilai isnad sesuatu hadith juga ada sedikit berbeza. Perbezaan yang sedikit inilah yang menjadi jawapan mengapa para ulama hadith membuat penilaian yang berbeza pada hadith yang sama.

    Kepentingan Memahami Konsep Ini

    Kita mestilah sedar bahawa seorang imam mujtahid tidak boleh bertaqlid kepada ijtihad ulama lain tentang taraf sesuatu hadith. Oleh itu, ijtihad ulama hadith hari ini - sebagai contoh mereka mengatakan ada hadith daif di dalam Sahih Bukhari, atau pun mereka memberikan taraf maudhuk kepada hadith hasan di dalam kitab Sunan al-Tirmidhi - sebenarnya ia tidaklah boleh dijadikan hujah bagi kita untuk menolak hadith-hadith tersebut. Ulama hadith yang terdahulu berijtihad mengikut kaedahnya yang tersendiri bagi menentukan taraf sesuatu hadith.

    Konsep ini perlulah difahami dengan sempurna bagi sesiapa yang ingin menjadi ulama hadith. Zaman kini, para ulama hadith adalah tidak setaraf dengan para ulama hadith zaman silam - sama ada dari segi penguasaan ilmu sains hadith atau pun tahap hafazan hadith. Oleh itu, pakar hadith zaman sekarang perlulah lebih berhati-hati dalam usaha menilai semula taraf sesuatu hadith.

    Bab-bab yang berikutnya akan memberikan contoh-contoh khilaf yang wujud dalam proses menentukan kesahihan sesuatu hadith. Nantikan sambungannya. InsyaAllah. Sila juga baca bab-bab yang sebelumnya:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab?
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II
    5. Kehandalan Para Imam Mujtahid
    6. Kehandalan Para Imam Mujtahid II
    7. Jangan Pandai-Pandai Ijtihad
    8. Taqlid Kepada Mazhab
    9. Taqlid Kepada Mazhab II
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    Portal Astora Jabat

    25 Mac 2006 • 37 Komen
    Sudah beberapa purnama saya tidak menjenguk Portal Astora Jabat. Tapi hari ini saya telah melawatnya. Bila dah lawat, terasa ingin berkongsi sesuatu pula - walaupun saya tidak berniat untuk update blog ini dalam masa terdekat.

    Saya petik beberapa komen dari ahli-ahli forum di sana:
    1- Saya tidak meyakini hadis tetapi saya tetap yakin Nabi Muhamad saw itu seorang rasul Allah. Saya sentiasa cuba memahami sunnah baginda saw dan saya tidak ada masalah menerimanya. Bagi saya hadis dan sunnah adalah dua perkara yang berbeza, walaupun ASWJ telah memudahkan kedua-dua menjadi satu.

    2-
    Hi poyang, quran terpelihara, hadis tidak. so jika anybody quote from quran, tentulah boleh dipercayai. kalau from hadis susahlah sebab yang mengumpulnya bukan maksum. if human is not perfect, tentu kesilapan boleh berlaku. yg pentingnya ialah ensure that hadis itu selari dgn quran, jangan menyeleweng dari the spirit of quran.

    3-
    sori bro neutral, saya bukan anti hadis. kalau saya anti hadis, Imam Bukhari pun anti hadis jugak lah. sebab dia pun banyak menapis hadis-hadis yang tak betul sebelum memuatkan dalam bukunya. Saya percaya Nabi Muhamad's role as an example. dan hadis yang sahih. tapi yang tak sahih tu banyak! jgn cepat melabelkan orang. hadis tentang melabelkan orang pun ada. tak baca?
    Saya ingin menulis panjang tentang hal ini. Malangnya masa tidak mengizinkan. Cukuplah buat masa ini bagi saya menyatakan bahawa golongan Islam Liberal (seperti Pakcik Astora Jabat) dan anti-hadith wajib kita tentang. Tolak apa-apa sahaja yang datang dari mereka. Tapi kalau apa yang mereka utarakan adalah sama seperti yang disepakati oleh para ulama ahlus sunnah wal-jamaah, maka kita harus terima. Kita mesti tolak yang batil dari mereka.

    Kita selaku ahlus sunnah wal jamaah wajib percaya pada Al-Quran dan hadith (bukan sekadar terima Al-Quran dan tolak hadith). Kita tidak memerlukan penilaian semula hadith, seperti mana yang dikokokkan oleh Kassim Ahmad, iaitu Bapa Anti-Hadith Malaya. Para ulama yang mengumpulkan hadith, dan kemudian membahagikan pula hadith-hadith tersebut kepada sahih, hasan, maudhuk, daif dan sebagainya, tidaklah melakukan satu kerja main-main. Mereka telah mencipta satu disiplin ilmu hadith yang sangat tinggi, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa pun sebelum itu.

    Sejak kurun ke-7 Islam lagi, para ulama ahlus sunnah wal jamaah telah bersepakat bahawa sesahih-sahih kitab selepas Al-Quran ialah kitab hadith sahih yang ditulis oleh Imam Bukhari dan Muslim. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya Muqaddimah fi 'Ulumil Hadith. Ijmak ulama dalam hal ini juga tidak dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga. Tolonglah yakin dengan ijmak ulama. Siapalah kita ini kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah tentu lebih alim, warak, dan bertaqwa kepada Allah.

    Janganlah kita hendak menentang ijmak ulama dengan menyatakan: "Mereka juga manusia biasa. Boleh buat silap". Ya, mereka memang boleh buat silap. Tapi jangan lupa juga yang kita ini pun manusia yang boleh buat silap. Tapi ilmu kita tidak setinggi dan sehebat mereka. Dan ijmak itu pula dibuat melalui perbincangan dan muzakarah sesama mereka - ia bukan kesimpulan dari seorang ulama sahaja. Kita ini yang baca Al-Quran pun masih merangkak-rangkak, hadith pula sekadar baca versi terjemahan, kalau tahu bahasa Arab pula jenis Arab rojak dan bukan pula Arab fuhshah, maka janganlah nak jadi hero buat ijtihad untuk menentang pendapat majoriti. Jadi, janganlah kita menolak hadith. Hadith itu salah satu sumber perundangan Islam.

    Mengapa Ia Berlaku?


    Bagi saya, hal ini berlaku kerana semakin berleluasanya slogan yang menganjurkan umat Islam membuka semula pintu ijtihad. Mereka dakwa umat Islam makin jumud dan mundur kerana menutup pintu ijtihad.

    Inilah fitnah akhir zaman. Terlalu ramai sangat nak jadi imam mujtahid. Mujurlah tiada rancangan televisyen seperti Akademi Mujtahid atau pun Mujtahid Idol. Kalau tidak makin parah jadinya. Ketahuilah bahawa para ulama ahlus sunnah wal jamaah tidak pernah pun menutup pintu ijtihad. Pintu ijtihad dibuka setiap masa sehinggalah hari kiamat. Yang menjadi persoalan adalah siapa yang layak memasuki pintu tersebut. Bukan semua budak lepasan sekolah menengah boleh buat bidang perubatan. Hanya yang benar-benar layak sahaja boleh memasukinya. Kalau pun ada budak lepasan SPM yang buka klinik perubatan (iaitu menjadi doktor tidak bertauliah dan tanpa lesen), anda berani nak pergi jumpa dia?

    Begitu juga dengan ijtihad. Slogan yang menganjurkan keterbukaan ijtihad tidak boleh kita sebar-sebarkan kepada orang awam. Jadi saya minta tolong pada anda yang baca artikel ini supaya menerima pendapat ulama yang mewajibkan orang awam untuk bertaqlid. Jangan nak kata bertaqlid ini haram. Kita bertaqlid kepada mazhab maksudnya kita bertaqlid kepada ulama yang mahir dan berkebolehan untuk mengeluarkan fatwa.

    Kalau nak kata haram juga, maka anda janganlah marah pula kepada pakcik Astora Jabat kalau dia tak mahu bertaqlid kepada ijmak ulama yang mengatakan bahawa azab kubur itu wujud dan wajib diyakini oleh semua umat Islam. Dan janganlah pula nak melenting bila Astora Jabat berijtihad bahawa rambut wanita bukan aurat. Dan janganlah pula nak melatah bila Zainudin Idris menulis dalam majalah Al-Islam (iaitu majalah yang dikepalai oleh Astora Jabat), yang mana beliau berijtihad bahawa anggota yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau perempuan.

    Jadi anda telah dapat lihat betapa bahayanya kalau kita menyeru orang awam dan juga orang yang cetek ilmu supaya tidak bertaqlid kepada mazhab, sebaliknya membuat ijtihad sendiri. Kesimpulan: Mari kita tentang fahaman Islam Liberal yang cuba diresapkan oleh Astora Jabat dan konco-konconya ke dalam masyarakat Malaysia khususnya.

    ---
    JALAN-JALAN:
    - Majalah Q-News. Laman web ini memang best sebab pelawat boleh baca back issue majalah Q-News (tapi tak semua ada). Majalah ini ada dijual di Malaysia. Tapi kena pandai-pandai cari. Saya pun tak pasti di mana ada jual. Ada sesiapa yang tahu?
    ¶ Teruskan membaca entri ini »

    5 - Kehandalan Para Imam Mujtahid

    08 Januari 2006 • 0 Komen
    Apabila memperkatakan tentang keluasan ilmu seseorang mujtahid, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah telah mencatatkan bahawa seorang pelajar Imam Ahmad Bin Hanbal, iaitu Muhammad Bin 'Ubaidullah Bin al-Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad: "Apabila seseorang telah menghafaz 100,000 hadith, adakah dia boleh digelar seorang ulama fiqh?"

    Imam Ahmad menjawab: "Tidak boleh."
    Lelaki itu bertanya: "Kalau 200,000?"
    Imam Ahmad: "Tidak boleh."
    Lelaki itu: "Kalau 300,000?"
    Imam Ahmad: "Tidak boleh."
    Lelaki itu: "400,000?"

    Imam Ahmad kemudian memberikan isyarat tangan yang memberi maksud "Lebih kurang banyak itu." [1]

    Dalam perbualan di atas, Imam Ahmad bermaksud bahawa frasa 'hadith' yang digunakan dalam pertanyaan lelaki tersebut, sebagai semua hadith dari Rasulullah saw yang terdiri dari pelbagai jenis sanad (rantaian periwayat hadith), iaitu sanad yang berbeza dikira sebagai set hadith yang berlainan, walaupun isi kandungan hadith (matan) tersebut adalah sama. Oleh itu, jumlah 400,000 yang dikatakan itu adalah terdiri dari hadith-hadith berulang.

    Walaupun setelah mengabaikan hadith-hadith berulang tersebut, dan hanya mengambil hadith-hadith yang diterima sebulat suara oleh semua ulama, sama ada sahih atau hasan, jumlah hadith yang perlu diketahui oleh seseorang mujtahid adalah kira-kira 10,000 buah. Hadith-hadith yang berjumlah 10,000 ini bukan sekadar apa yang terdapat dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja, malah pada kitab-kitab hadith lain yang dikarang oleh Imam Tirmizi, Imam Ahmad, Imam Abu Daud, dan lain-lain lagi.

    Seseorang yang ingin mengeluarkan fatwa tentang haram atau halal, wajib atau sunat, mestilah mengetahui kesemua hadith-hadith bertaraf sahih dan hasan yang berjumlah kira-kira 10,000 buah itu, di samping turut mengetahui kesemua kitab-kitab muktabar yang berkaitan dengan hadith-hadith tersebut. Selain itu, seseorang yang ingin berijtihad juga mesti boleh menggabungkan hadith-hadith sahih yang kelihatan seperti saling bertentangan di antara satu sama lain.

    Bagaimanakah para Imam Mujtahid menggabungkan hadith-hadith tersebut?

    Ijtihad

    Pada bab yang lalu, Kriminal Dalam Ijtihad II, kita telah pun diperlihatkan contoh-contoh hadith (sama ada sahih atau hasan), yang saling bertentangan, telah digabungkan dengan menggunakan kaedah fiqh: "Suruhan dan arahan lisan yang jelas dari Rasulullah saw diberikan prioriti daripada apa yang Baginda lakukan." Bab ini akan memperjelaskan kaedah tersebut.

    Terdapat beberapa hukum yang Allah syariatkan, hanya boleh diaplikasikan kepada Nabi Muhammad sahaja. Contohnya, apabila Rasulullah pergi berperang, Baginda tidak dibenarkan untuk berundur, tidak kira betapa besar jumlah musuh. Ataupun seperti kewajiban solat tahajjud yang dikhaskan untuk Baginda seorang, padahal ia hanyalah satu amalan sunat bagi kita semua. Ataupun seperti kebenaran yang hanya diberikan kepada Baginda seorang sahaja untuk berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka. Ataupun seperti kebenaran kepada Nabi untuk memiliki lebih dari 4 orang isteri - yang mana ia menunjukkan sifat Allah yang Maha Bijaksana dalam memastikan umat Islam dapat mengetahui amalan-amalan harian Rasulullah dengan lebih lengkap dan terperinci, iaitu lebih ramai isteri maka lebih mudahlah untuk memerhati dan mengingat segala amalan Rasulullah.

    Jadi, oleh kerana para Imam Mujtahid sedar bahawa beberapa hukum hanya khas untuk Rasulullah saw, maka mereka telah mewujudkan kaedah fiqh tersebut. Melalui kaedah ini, apabila kita berjumpa dengan hadith tentang amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah seorang sahaja, seperti mendedahkan bahagian pehanya ketika pulang dari Khaibar, dan kemudian ada pula hadith yang menyuruh para Sahabat menutup bahagian peha kerana ia adalah sebahagian dari aurat, maka suruhan lisan tersebut (iaitu menutup peha) diberikan prioriti atau keutamaan dan ia wajib digunapakai oleh seluruh umat Islam yang ada di dunia ini.

    Dalam contoh penggabungan hadith-hadith tersebut yang sekilas pandang adalah saling bertentangan, kita boleh melihat bahawa untuk menjadi seorang ulama fiqh, seseorang itu memerlukan pemahaman serius dalam bidang ilmu hadith - baik dari segi keluasan ilmu dan juga kedalaman intepretasi sesuatu hadith tersebut. Seseorang yang hanya tahu beberapa buah hadith, ditambah pula dengan penguasaan Al-Quran yang tidak mantap, kemudian buta pula bahasa Arab, adalah antara contoh individu yang tidak layak mengeluarkan ijtihad - sama ada ijtihad untuk dirinya atau untuk orang lain. Dalam kes ini, mereka perlulah bertaqlid kepada salah satu mazhab [2].

    Maka, seseorang yang mengeluarkan fatwa hanya dengan bersandarkan kepada hadith sahih Nabi pulang dari Khaibar itu [3], dengan mengatakan "para ulama telah silap, dan hadith adalah benar", telah melakukan kesilapan dan jenayah besar disebabkan oleh kejahilannya sendiri.

    Bersambung dalam bab "Kehandalan Para Imam Mujtahid II"

    Sila baca bab-bab sebelum ini:
    1. Mengapa Perlu Bermazhab
    2. Memahami Al-Quran & Sunnah
    3. Kriminal Dalam Ijtihad
    4. Kriminal Dalam Ijtihad II

    Nota Kaki

    [1] Muhammad Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, I'laam al-muqaqqiin 'an Rabb al-'Alamin.

    [2] Isu taqlid akan dibincangkan dalam beberapa bab lagi.

    [3] Tentang hadith ini, pernah sekali saya bertanya kepada kawan saya: "Kenapa pemain bola Arab Saudi yang menyertai Piala Dunia memakai seluar pendek?" Kawan saya yang saya kira mungkin jahil waktu itu sekadar menjelaskan bahawa ada hadith sahih yang membuktikan Nabi saw pernah menampakkan bahagian pehanya (iaitu hadith Nabi pulang dari Khaibar). Ini sekadar contoh yang menunjukkan hadith-hadith sahih yang digunakan tanpa mengetahui hadith-hadith sahih lain yang memperkatakan tentang aurat dan juga pemahaman yang cetek terhadap ilmu hadith.
    ¶ Teruskan membaca entri ini »