Halloween Costume ideas 2015
MPS
Articles by "Pendidikan"


Buku ini pada asalnya merupakan sebuah makalah ilmiah yang dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Imam al-Ghazali yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, sekitar bulan September tahun 2017.

Naṣīḥat Al-Mulūk dan Etika Kepimpinan Belia Islam
Buku Naṣīḥat al-Mulūk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam ini merupakan satu pengolahan reflektif atas pemikiran falsafah moral ilmuwan dan pemikir agung dalam tradisi Islām, Ḥujjat al-Islām al-Imām Muḥammad bin Muḥammad bin Muḥammad al-Ghazālī, menerusi karyanya, Naṣīḥat al-Mulūk. Naṣīḥat al-Mulūk karya Imām al-Ghazālī adalah merupakan sebuah karya yang tergolong dalam genre ‘adab ketatanegaraan.’ Tujuan kepengarangan literatur dalam genre ini adalah untuk memberikan pedoman kepada para pemimpin Muslim dalam membangun peribadi sebagai pemimpin umat yang beriman dan beramanah, seterusnya berlaku adil terhadap masyarakat yang ditadbirnya.
Objektif utama penerbitan karya Naṣīḥat al-Mulūk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam ini adalah bagi merancakkan wacana falsafah moral atau etika, yang juga dikenali dalam tradisi keintelektualan Islām sebagai ilmu akhlāq atau ilmu tadbīr al-Nafs. Secara khusus, penulisan ini bertujuan meninjau gagasan kepemimpinan Imām al-Ghazālī dalam karyanya Naṣīḥat al-Mulūk dan memformulasi beberapa nilai etika yang dapat dimanfaatkan daripadanya khususnya untuk pedoman pimpinan belia Islām masa kini, memandangkan zaman baharu banyak menyajikan cabaran baharu yang menuntut persiapan rapi para pimpinan belia Islām untuk terus releven dan terlestari dalam arus perubahan.

Penulis: Fazril Saleh
Penerbit: ABIM Press
ISBN: 9789672158066
Halaman: 63 muka surat

Buku ini boleh didapatkan melalui beberapa pengedar sama ada melalui proses dalam talian atau dapatkan langsung di kedai buku, antaranya Ilham Books, ABIM Press dan beberapa lagi pengedar lain. Jika taip tajuk buku di enjin carian, pasti akan ditemukan cara mendapatkan buku ini.

Saya akan ceritakan pengalaman sedikit sebanyak yang berkait dengan buku ini dalam karangan akan datang di blog ini.


Tan Sri Halim Saad membida untuk mengambilalih PLUS Malaysia Bhd, konsesionari merangkap operator tol terbesar negara yang kini dimiliki UEM dan KWSP.

Empat tahun sudah, beliau sudahpun berusaha membidanya. Malah beliau berjanji bahawa kadar tol akan berada pada paras sedia ada.

Lebih menarik, beliau akan membayar pampasan daripada kerajaan atas tempoh konsesi yang berbaki sehingga 2038.






Komitmen yang sama diberikan oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang telahpun berhasil menguasai 90% saham Syarikat Padiberas Nasional (BERNAS).

Menteri Pertanian dan Asas Tani beriya benar mengabsahkan pemgambil-alihan ini baik kerana Syed Mokhtar akan membuat bayaran tahunan sebanyak RM 2 juta kepada Pertubuhan Petani Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

Hakikatnya, mereka sanggup bayar berjuta, malah berbilion untuk pulangan yang berganda.

Monopoli kapitalis akan terus berleluasa sekiranya pimpinan negara korup dan tidak komperens.


Mahasiswa Bitara: Persiapan Menciptakan Peribadi Unggul 

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)



"Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang melimpah-ruah dan kesembuhan dari segala macam penyakit. Amin"


PRAWACANA
Bergelar ‘mahasiswa’ tidak hanya bermaksud menjadi pelajar di institut pengajian tinggi atau universiti. Mahasiswa adalah sebenarnya ‘the custodian of knowledge’. Justeru, menjadi mahasiswa bermakna menjadi golongan terpelajar yang sedar tentang peranan dan tanggungjawab keilmuwan yang terbeban ke atas pundak mereka. Ia menuntut kesungguhan, ketekunan dan keteguhan menempuh alam kampus yang cukup mencabar.

Mahasiswa bukan seperti pelajar sekolah. Di kampus, sistem pembelajarannya berbeza daripada apa yang pernah dirasai di sekolah; sistem semester, pemarkahan ‘carry-assessment marks’, tugasan, buku rujukan, kuiz, ujian dan pelbagai lagi perkara yang mungkin tidak pernah dilaksanakan di sekolah bakal dialami di universiti.

Tidak sekadar sistem pembelajaran sahaja yang berbeza, malah kehidupan alam kampus juga berbeza. Suasana alam kampus lebih bebas dan menuntut mahasiswa untuk berdikari. Disiplin diri adalah sangat utama agar tidak berlaku keciciran dalam pelajaran kelak.

Selain itu, mahasiswa tidak selayaknya hanya belajar di bilik kelas, menyelesaikan tugasan matakuliah, tutorial dan mencapai kecemerlangan akademik, tetapi mahasiswa juga punya tanggungjawab kemasyarakatan. Justeru, pembinaan syakhsiah (peribadi) adalah asas kepada usaha persiapan mahasiswa untuk cemerlang dalam pengajian, terlatih dalam medan, membina daya kepimpinan seterusnya menyumbang kepada umat dan masyarakat.


MAHASISWA DAN JATIDIRI KEMAHASISWAAN
Mahasiswa secara umumnya dikenali sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi atau universiti. Mahasiswa menghadiri kuliah di universiti, menghadapi ujian akhir dan bergraduasi. Dengan sijil yang diperoleh daripada universiti, maka berpeluanglah mereka mencari pekerjaan yang bergaji lumayan, dan taraf kehidupan keluarga dapat ditingkatkan. Itulah gambaran umum tentang siapa mahasiswa. Sekiranya kita berani berlaku jujur dan mengakui keadaan dan kualiti diri kita sebagai mahasiswa di universiti, mungkin akan dapat membuka jalan berfikir secara objektif dan koreksi diri dapat dilakukan.

1) Mahasiswa dalam Cengkaman Orang Industri
Hakikatnya, mahasiswa itu sangat berkait rapat dengan konsep universiti. Mungkin apa yang kita fahami tentang mahasiswa dan universiti sekarang ini bertitik tolak daripada penyelewengan tujuan penubuhan universiti. Jika dahulu ilmu pengetahuan mempengaruhi persekitaran, tetapi hari ini persekitaran mempengaruhi ilmu pengetahuan dan cara penyampaiannya. Jika universiti zaman dahulu bercakap tentang ilmu, universiti kini bercakap tentang produk dan servis. Pelajar merupakan pelanggan mereka (universiti), dan pasaran kerja merupakan panel penilai keberkesanan mereka. Pendidikan hari ini telah menjadi sejenis bisnes yang mula didominasi oleh ‘Orang Industri’.

Malah sektor pendidikan itu sendiri telah diberi label ‘industri’; yang tentunya memberi membawa implikasi penekanan kepada motif perekonomian (mencari keuntungan) sesuai dengan konotasi kata industri itu sendiri sebagai perusahaan. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil pemakaian istilah industri pendidikan sebagai ‘pengkomoditian ilmu dan ilmuwan yang nilainya ditentukan oleh hukum pasaran; penawaran dan permintaan’.

2) Mahasiswa dan Elemen-elemen Lain yang Integral dan Saling Melengkapi
Kita perlu ubah! Ubah cara fikir dan kembalilah kepada hakikat mahasiswa yang sebenar. Dalam tradisi kesarjanaan tamadun-tamadun besar, pelajar sangat berkait rapat dengan guru, adab-etika dan kutub khanah (pustaka). Guru merupakan seorang insan yang bertanggungjawab menyalurkan ilmu (transmission of knowledge) kepada muridnya. Bukan sekadar ilmu, tapi yang lebih utama ialah metodologi (manhaj) untuk mempelajari atau mendalami disiplin ilmu yang diajarkan. Metodologi ini penting supaya ilmu yang diajarkan dapat dikembangkan dan tidak bersifat statik dan jumud. Khutub khanah atau kepustakaan juga merupakan unsur penting yang berkait rapat dengan pelajar. Di sinilah berkumpulnya rujukan-rujukan untuk pengembangan ilmu pelajar. Institusi pendidikan yang berkualiti dan punya visi kependidikan yang unggul akan melabur banyak untuk meningkatkan kualiti kepustakaannya. Adab pula adalah etika dan disiplin seorang penuntut ilmu. Oleh sebab amanah keilmuan itu bukan calang beratnya dan perbuatan menuntut ilmu itu bukanlah mudah, maka disiplin menuntut ilmu perlu dijaga.

3) Hakikat Mahasiswa: Pengemban Amanah Keilmuan
Hakikat mahasiswa ialah mereka merupakan manusia yang sedang disiapkan untuk mengemban amanah keilmuan; mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang benar untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Inilah jatidiri mahasiswa: sedar akan kedudukannya sebagai penuntut ilmu yang mempunyai hubungan dengan guru, melalui proses pembelajaran dengan adab dan disiplin tertentu dan sanggup mengemban amanah keilmuan serta menyebarkan ilmu yang hak untuk manfaat diri, keluarga dan masyarakat.

Konsep dan aspirasi universiti pula wajar dikembalikan. Universiti sewajarnya menjadi tempat di mana ilmu dihubungkaitkan secara universal. Iklim ilmiah dan tradisi akliah wajar menjadi keutamaan. Budaya ilmu diamalkan oleh semua peringkat warga universiti. Tuntasnya, universiti tidak sepatutnya menjadi tempat merebaknya wabak kepura-puraan – baca buku untuk ujian dan peperiksaan; menipu dalam menyiapkan tugasan; menipu dalam peperiksaan; plagiarisme dan sebagainya – akan tetapi, universiti harus bertindak sebagai institusi melahirkan para ilmuwan yang berwibawa dan berjasa kepada manusia sejagat.

BITARA: GAGASAN KEUNGGULAN MAHASISWA
Mahasiswa wajar punya cita-cita. Dato Dr Siddiq Fadzil pernah dalam ucapannya di hadapan anak-anak muda secara berseloroh – tapi mesejnya jelas – menyatakan: “Jangan ditanyakan kepada orang tua, apa cita-citamu, kerana orang tua tidak punya cita-cita melainkan pengalaman. Maka, tanyalah engkau akan pengalamannya. Akan tetapi untuk anak muda, tanyakan apa cita-citanya. Orang muda wajar punya cita-cita.”

Mahasiswa rata-ratanya terdiri daripada golongan muda. Anak muda perlu ada idealisme. Kekuatan tenaga kepemudaan yang disepadukan dengan idealisme yang kukuh dan jelas serta kekuatan ilmu pengetahuan mampu memberi impak besar dalam diri dan komuniti. Potensi kepemudaan ini tidak sewajarnya dibazirkan. Ini bermakna, ‘Mahasiswa Bitara’ adalah kelompok mahasiswa yang berusaha untuk membangunkan potensi diri untuk cemerlang dalam akademik, cemerlang dalam menggilap kompetensi diri, cemerlang dalam kepemimpinan dan cemerlang dalam kegiatan kemasyarakatan serta seterusnya menjadi jurubicara ummat yang unggul.

1) Mahasiswa Bitara yang Unggul dan Hebat
Gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ bukanlah suatu yang baharu. Istilah ‘bitara’ itu sendiri menggambarkan keunggulan (khairiyah). Dari segi bahasa, kata ‘bitara’ merupakan cantuman dua perkataan iaitu ‘bi’dan ‘tara’. ‘Bi’ merupakan imbuhan pinjaman daripada Bahasa Parsi yang bermaksud ‘tidak’ atau ‘tiada’. Manakala ‘tara’ bermaksud ‘takat’, ‘tahap’ atau ‘had’. Oleh yang demikian, ‘bitara’ membawa maksud ‘tiada had’, ‘tiada takat’, ‘unlimited’. Dalam kata lain, ‘Mahasiswa Bitara’ adalah mahasiswa unggul yang hebat!

2) Tanda Aras (Indikator) Keunggulan Mahasiswa
Terdapat empat input pembinaan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dikenali sebagai ‘Lingkung Kebitaraan’: (1) Idealisme; (2) Intelektualisme; (3) Aktivisme; dan (4)Spiritualisme. Idealisme ialah kekuatan azam dan cita-cita; visi dan harapan. Idealisme harus dipandu oleh kekuatan ilmu dan tradisi akliah iaitu aspek intelektualisme agar idealisme tersebut tidak sekadar bersandarkan semangat semata-mata. Aktivisme adalah manifestasi idealisme yang dipandu intelektualisme, manakala spiritualisme adalah aspek kawalan bagi unsur lingkung kebitaraan yang lain.

MEMBINA KOMPETENSI DAN KEPEMIMPINAN
Mahasiswa Bitara melahirkan pemimpin unggul. Gagasan Mahasiswa Bitara mensasarkan pembinaan mahasiswa yang kompetens dan punya daya kepemimpinan yang berkualiti. Kepemimpinan bukan sekadar melihat kepada aspek karismatik seseorang, malah ia menjangkau lebih daripada itu. Kepemimpinan yang benar-benar berkualiti adalah kepemimpinan yang didasari oleh nilai-nilai murni yang kudus. Justeru, PKPIM meyakini bahawa kepemimpinan adalah suatu gerak daya atau proses ‘sanctified trust’ atau ‘pengkudusan kepercayaan’ yang disulami dengan niai-nilai seperti integriti, kebebasan dan keadilan.

Kebanyakan pemimpin naik ke teraju kepimpinan tanpa mengetahui dan menyedari peranan sebenar seorang pemimpin serta nilai-nilai yang patut dianutinya. Mereka bertindak cuma berdasarkan apa yang mereka percaya mereka boleh lakukan ketika memegang autoriti; mungkin mereka berbakat dalam pengucapan awam, mampu berpidato dengan hebat tapi terkadang cuma laungan kosong dan angan-angan yang akhirnya langsung tak menampakkan hasil kejayaan kepimpinannya.

Akan tetapi, hakikatnya pemimpin yang berkesan bermula dengan menanyakan dirinya tentang watak kepimpinan yang bagaimana sewajarnya dibentuk. Kepimpinan yang berkesan memberi fokus kepada pembinaan watak kepimpinan; kesedaran tentang nilai dan prinsip yang dipegang dan dianuti.

1) Pembinaan Watak Pemimpin
Oleh sebab itu, Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) merupakan mekanisme penyaluran nilai-nilai dalam empat elemen Lingkung Kebitaraan – spiritualisme, idealisme, intelektualisme dan aktivisme - yang bakal memacu pemimpin dan kepimpinannya ke arah konsistensi sikapnya yang menentukan tahap keberkesanan kepimpinan seseorang.

Pemimpin yang berkesan akan mampu menjadi suri tauladan kepada pengikutnya, yang menunjukkan sikap yang membangkitkan motivasi pengikutnya, yang menyokong orang bawahannya sehingga mereka mampu berdikari dan yang sentiasa membuat keputusan bersandarkan matlamat yang jelas dan kaedah yang efektif. Natijahnya, kepimpinan yang berkesan akan memotivasikan kelompok atau organisasinya untuk mengembleng sepenuh tenaga bagi mencapai wawasan yang dicita-citakan.

Justeru, tiga komponen teras dalam Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) diklasifikasikan: 1) Watak Syakhsiy (Personal Character); 2) Watak Ijtima’i (Social Character); 3) Watak Tanzhimi (Organizational Character). Watak Syakhsiy adalah peran yang sentiasa tekal dan cekal dalam berhadapan setiap kendala yang mendatang, manakala Watak Ijtima’i menonjolkan sikap saling menghormati, ambil berat, menyanjungi persamaan dan menghargai perbezaan. Watak Tanzhimi pula merupakan manifestasi sikap semangat berpasukan dan amal jama’i yang berkesanggupan mengutamakan organisasi dan orang ramai berbanding kepentingan peribadi. Inilah antara output gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dicita-citakan.

2) Kecenderungan, Sikap, Rutin dan Pembinaan Budaya
Kata kunci yang penting untuk difahami dalam membangun gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ ialah budaya. Mahasiswa Bitara perlu membangun budayanya sendiri. hanya dengan budaya yang baik, tiga komponen teras dalam Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) mampu untuk dilaksanakan. Budaya adalah istilahyang terdiri daripada dua perkataan iaitu ‘budi’dan ‘daya’. Budi adalah lambang aspek dalaman diri manusia yang merangkumi idealisme, intelektualisme dan spiritualisme, manakala daya adalah manifestasi aspek dalaman tadi dalam perbuatan dan kegiatan (aktivisme).

Persoalannya, bagaimana membina budaya? Budaya hanya akan terbina dalam komuniti. Ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang saling memerlukan satu sama lain. Sejarah ketamadunan bangsa-bangsa besar dunia membuktikan tamadun berkembang daripada budaya, dan budaya dibangunkan dalam masyarakat. Justeru PWP adalah watak-watak yang bersifat syumul kerana watak-watak inilah yang akan membantu menjayakan pembinaan budaya dan tamadun.

Bagaimana kita dapat membina budaya secara praktikal? Di sini terletaknya kepentingan kesatuan pemikiran dan idealisme dalam masyarakat. Awal mulanya budaya akan mungkin terbina dengan munculnya ‘kecenderungan’ (tendency) dalam diri individu. Daripada kecenderungan ini, maka ‘sikap’ (attitude) mula dibina dalam diri individu tersebut. Sikap ini akan membentuk ‘rutin’ (routine) yang menjadi pengamalan harian oleh individu tersebut. Justeru, apabila setiap individu mempunyai kecenderungan, sikap dan rutin yang sama, maka budaya pun terbentuk. Dalam kata lain, budaya adalah manifestasi kesatuan pemikiran individu-individu dalam sesuatu masyarakat yang menzahirkan pengamalan-pengamalan tertentu dalam bentuk kegiatan dan perbuatan.

KHATIMAH
‘Mahasiswa Bitara’ adalah sebuah gagasan untuk mengembalikan makna diri dan keunggulan mahasiswa. Mahasiswa harus disedarkan bahawa tugas mereka bukan semata-mata menjadi pelajar yang belajar di kuliah untuk menjawab peperiksaan dan memenuhi keperluan pasaran dan Orang Industri.

Mereka merupakan pengemban amanah keilmuan yang punya tanggungjawab memenuhi hak diri, keluarga dan umat. Empat Lingkung Kebitaraan perlu diaplikasikan seterusnya membina Watak Pemimpin: watak Syakhsiy, watak ijtima’i dan watak tanzhimi dalam penyuburan budaya yang positif dalam komuniti mahasiswa dan warga university.


Wallahu a’lam bi al-sowab


Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
19 September 2013, 02.19 petang
Sungai Chincin, Gombak Selangor

013-2775313 / fazrilsaleh@gmail.com / fb: Peminggir Kota




*Kertas ini dibentangkan kali dalam program Teknik Belajar Mahasiswa Bitara anjuran IIUM Facilitator Team (FaciTeam) pada 18 September 2013, bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Pahang & dibentangkan kali ke-2 dalam program Wacana Teknik Belajar Mahasiswa Bitara anjuran PKPIM dan Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI sempena Pesta Buku UPSI 2013 pada 07 Oktober 2013.
  
*Penulis merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Ketamadunan)



DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
Al-Fadhil Dato' Dr. Siddiq Fadzil
Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)

Pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”, tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.

Dalam kaitan inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.


Demokrasi dan Media
Dalam era kekuasaan media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam reality seadanya. Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media.

Media yang telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.

Demikianlah orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya).

Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).

Sebagai image maker media selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.


Mengundi Sebagai Kesaksian
Dilihat dari perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa)…” --- al- Baqarah: 283.

Kesaksian dalam konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan), “…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…” -- al-Talaq:2.

Kesaksian adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.” -- al-Hajj:30.

Ternyata mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2.

Untuk memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.

Demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi akan mati dalam oreintasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54.

Rakyat yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.” -- Nuh:21.


Perubahan Politik dan Politik Perubahan
Bagi warga gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai--nilai moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban, dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan berintegriti.

Politik perubahan yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang cerdas dan enlightened.

Objektif memelihara harta (hifz al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.


Sistem Dua Parti
Yang harus menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, “sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”.

Dengan kata lain, dalam konteks masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.


Politik Baru dan Tahaluf Siyasiy
Setelah lebih setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit
tidak lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme
keadilan dan kebersamaan.

Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik.
Umat Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya.

Sikap mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat.

Al-Qur’an tidak hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…) – al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- al-Shu`ara’: 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum Salih ) --al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat tersebut bererti saudara.

Memang tidak semua orang bukan Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan.

Setiap malam, setelah semua orang tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70).

Tahaluf siyasiy dalam konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah.

Wakil rakyat bukan amir, bukan wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).

Seandainya pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan ulama terhadap mereka.

Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada orang bukan Islam?

Sebagai sesama warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim -- pada asasnya adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin. Demikianlah yang difirmankan oleh Allah:

Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.


Merujuk ayat tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195).

Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`.

Mengadakan tahaluf siyasiy dengan golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar. Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpatisipasi dalam Hilf al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin.

Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda,“Andainya sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya.

Dalam amalan demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan negara.

Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.


Mekanisme Pilihan Raya dan Budaya Politik
Untuk menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin bahawa yang naik adalah yang terbaik.

Dengan demikian kemenangan yang diraih oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat. Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.

Dalam kaitan ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru, moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.

Ketika ini wang seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya.

Dalam budaya politik korup seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik, jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup.

Untuk melindungi kuasa yang korup institisi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam kelangsungan kuasa yang korup.

Apabila politik sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau mengatakan,

Politicians are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their government as unable to deliver what they promie, obsessed with unimportant issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded notions of authority, and increasingly in the pockets of businesspeople. The distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt practices. (Hertz, Noreena, 2003: 121)

Dalam budaya politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik. Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan.

Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prisip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa democrat yang menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan kelompok sendiri.

Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, manakut-nakutkan dan lain-lainnya.

Perjuangan menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan.

Politik yang didukung golongan yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang.

Memang survival penguasa yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `amah.


Gerakan Islam dan Misi Demokratisasi
Gerakan Islam yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat Nabi s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…

Gerakan Islam tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.

Gerakan Islam juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien.

Rakyat perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu ‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan politik curang.


*Teks ucapan di Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan kebudayaan, Shah Alam, pada 9hb.Mac 2013

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget